Tuesday, April 13, 2010

Tok Wan

Petang itu hujan lebat. Mak dan Adik ke depan kedai, meninjau-ninjau, takut-takut jika air longkang penuh. Rumah Tok Wan boleh dilihat daripada depan kedai. Terang benderang.

Anak Tok Wan sudah membawa Tok Wan ke Kuala Lumpur. Sudah seminggu. Tok Wan terjatuh dalam longkang, berjam-berjam. Tiada siapa yang sedar. Sudahnya, dia sakit teruk. Tiada siapa yang jaga. Kasihan orang tua tu.
Mak lihat rumah Tok Wan terang benderang. Mak gembira. Mungkin Tok Wan sudah balik. Kata Mak pada Adik. Adik juga tengok rumah Tok Wan. Nampak pintu longsor terbuka. Nampak Tok Wan menapak ke luar rumah. Di koridor, bawah teduhan hujan. Dengan berkain pelikat senteng dan baju kemeja singkat. Gayanya santai. Tangan dikilas kebelakang. Berjalan di koridor melihat air hujan mencucur dari atap rumahnya.

"Sihat dah Tok Wan tu." Ujar Adik pada Mak. Mak tengok Tok Wan. Nampak Tok Wan berjalan bawah teduh hujan. Tangan dikilas kebelakang.
Mak teringin nak tanya pada Tok Wan. Bila Tok Wan balik dari Kuala Lumpur? Sudah sihatkah Tok Wan? Siapa yang hantar Tok Wan balik? Mak tidak nampak sebarang kereta dihadapan rumah Tok Wan.

Semua soalan itu, Mak simpan sahaja.Hujan semakin lebat.

Esok, bila Cina Ikan datang menjual didepan rumah Tok Wan, Mak akan ketuk pintu rumah Tok Wan. Mak sudah berkira-kira ingin membawa apam putih gebu Mak Chah untuk Tok Wan. Mak tahu Tok Wan suka.

Usai solat Maghrib, telefon berdering. Dihujung talian, terdengar esak-esak suara Mak Long, anak Tok Wan yang sulung. Tok Wan meninggal petang tadi. Katanya. Setelah lebih tiga hari Tok Wan koma. Meninggal di Kuala Lumpur. Jenazahnya akan terus disimpan di sana. Mak long teresak-esak lagi. Mak terkedu tak terkata. Talian diakhiri.

Siapa yang Adik dan Mak nampak petang tadi? Berjalan tangan kilas kebelakang, dibawah teduhan hujan.

Tok Wan rupa-rupanya sudah kembali ke rahmatullah, di saat Mak dan Adik ternampaknya dirumah. Bila dijenguk kembali kerumah Tok Wan. Rumah yang tadinya terang benderang, sudah gelap gelita.

Semoga roh Tok Wan ditempatkan dikalangan orang yang beriman, bersama mereka-mereka yang dikasihi olehNYA. Al-fatihah.

Monday, April 5, 2010

Kahwin lagi

Asyik-asyik cerita pasal kahwin. Asyik-asyik cerita pasal kahwin. Macam dah boring kan. Nak cerita pasal masak-masak aku tak tahu. Jadi adalah lebih indah jika aku bercerita pasal kahwin.

Aku asyik rasa berbelah bahagi. Kalau aku cerita pada orang, orang akan kata, agak-agaknya aku ini sudah ada boyfriend baru. Tidak. Sama sekali tidak. Aku cuma ada dia.
Tapi kenapa hati aku tak tenang? Rasa bagai ada yang tak kena? Rasa bagai aku sedang mengambil langkah yang salah. Mak dan Abah pasti akan mengamuk kalau tiba-tiba mereka tahu anak mereka yang cantik jelita ini rasa berbelah bahagi.

Mak mesti akan kata : " Hari tu Mak dah larang, Kak chik yang nak juga."
Abah mesti akan kata : "Hari tu Abah dah larang, kak chik yang nak juga."

Aku dah dapat meramalkan Mak dan Abah akan pulangkan paku buah keras pada aku. Aish...

Aku tidak ada tempat bercerita. Tidak ada tempat untuk berkongsi rasa beban dihati ni. Rasa keraguan yang menimbun. Rasa tak selesa. Rasa bodoh. Rasa ingin lari, tinggal di satu tempat yang sunyi, supaya aku tak perlu membuat sebarang pilihan. Aku boleh hidup dengan tenang. Tidak perlu berfikir sekiranya aku membuat pilihan yang tepat atau tidak. Aku sudah mula pening-pening lalat. Jangan kau terkejut sekiranya aku tidak jadi berkahwin tahun ini.
Aku ingin lari. Aish...