Sunday, May 31, 2009

Kenduri

Bermulanya cuti sekolah, bermakna bermulalah musim kenduri kahwin. Sepanjang musim cuti ini, aku ada 11 jemputan kenduri. Jemputan dari rakan-rakan sekampung, rakan-rakan sekolah dan juga tak terkecuali my beautiful sisters from uni years; my best buddies.

Teringin betul rasa hati ni nak melihat semua kawan-kawan bersanding. Kalau boleh, aku tak nak terkecuali menghadiri kenduri sesiapa pun. Aku tak nak terkecuali meraikan kawan-kawan. Masalahnya, cutiku ini tak sama dengan cuti sekolah. Bertambah menyedihkan, cuti tahunanku cuma 7 hari. Cuti-cuti itu aku simpan untuk masa-masa kecemasan yang membabitkan Mak dan Abah.

Untuk Juo dan Farah; Insyaallah, ada rezeki, ada masa, masa korang bersalin anak sulong nanti, aku sampai.
Untuk rakan-rakan yang dekat, walaupun terlewat, Insyaallah, aku akan cuba hadir.

Wednesday, May 27, 2009

Mimpi

Jam 3 pagi. Aku bermimpi, aku kehilangan orang yang paling aku sayang, dunia dan akhirat. Bila terjaga, bantal aku dibasahi air mata. Aku rasa lelah. Pipiku basah. Mataku bengkak. Tangisan dalam mimpi ku, terbawa-bawa ke alam nyata.
Aku bangun, usung bantal dan selimut, aku menyelinap ke bilik Mak. Bunyi nafas Mak membuat hatiku kembali lega. Aku peluk Mak. Erat. Tak dapat aku bayangkan kalau apa yang aku mimpi benar-benar terjadi.

Jam 6.15 pagi. "Rambut busuk, dok mai sondol-sondol dekat kita pulak dah. Tangan dia saja dah sepuloh kilo. Putus nyawa Mak macam ni!"

Aku tergelak bila terjaga dengan diiringi suara Mak sedang marah-marah.
Walaupun Mak selalu marah-marah. Aku tetap sayang Mak. Dunia dan akhirat. Sumpah.

Thursday, May 21, 2009

Fed-up

Ada ketikanya aku rasa ingin menangis,
ingin menjerit,
memberitahu seluruh dunia supaya tinggalkan aku sendiri.
Matikan telefon.
Matikan fikiran.
Matikan hati.
Aku fed-up.

Tuesday, May 19, 2009

marah tapi comel 2

Hari ini, tahap kesabaranku sudah sampai ke penghujung. Aku sudah bosan diperkotak katikkan. Aku sudah bosan di perli-perli. Aku sudah bosan di umpat-umpat. Aku nekad. Aku akan berdepan dengannya dan meluahkan rasa ketidakpuasan hatiku. Jaga kau minah, aku cili-cili mulut kau nanti. Kataku dalam hati.
Selesai kelas pagi, aku terserempak dengannya di ofis, dengan muka yang macam celaka, boleh pula dia berkata, "Lawa baju kak chik ari ni." Dengan rasa rendah dirinya, aku kata, terima kasih. Hilang semua rasa marah-marah tadi. Hilang api dalam hati. Cilakak, orang baru puji baju, aku dah cair. Nampak sangat tak ada jati diri. Aish....

Monday, May 18, 2009

marah tapi comel

Aku bukan jenis yang mudah tidak sukakan orang. Aku mudah mesra, dan baik hati. Chewahh... Tetapi ada seorang hamba Allah yang suka menguji kesabaran aku. Aku betul-betul tak pahamlah. Mungkin dia ada 'bet' dengan sapa-sapa kot. Kalau dia berjaya buat aku mengamuk, dia menang. Setakat ini, kesabaran aku masih dapat di kawal. Aku tidak mahu dia menang. Kalau dia menang juga, bermakna, kereta buruknya telah berjaya ku bakar jadi abu.
Tapi perlu diingat, walaupun aku dalam berkeadaan marah, aku tetap comel. Aish...

Wednesday, May 13, 2009

Macam Baik

Minggu Pengurusan Pelajar Baru 2009/2010. Pekan Changlun yang biasanya sunyi sepi, sesak. 2008 orang pelajar, hampir 2000 buah kereta juga yang membanjiri kawasan kolej yang sememangnya sempit. Pelbagai karenah pelajar dan ibu bapa. Sampai tak terlayan. Pelajar-pelajar nampak 'macam baik'. Seperti biasa, setiap kali MPPB, aku hanya menadah tangan dan berdoa, pelajar-pelajar ini akan kekalkan perangai 'baik' mereka sepanjang tahun pengajian. Berdoa tak ada masalah tahun ini. Berdoa semoga aku dapat jalankan tugas dengan baik.

Monday, May 11, 2009

Tanah untuk dijual

Aku bukan ingin jadi broker. Tidak. Tapi hanya membantu ibu saudara di Langkawi. Kalau-kalau ada antara kawan-kawan yang teringin nak memiliki tanah di Langkawi, ibu saudara ingin menjual tanahnya:
Luas tanah: 1 relong
Ciri-ciri : Betul-betul tepi simpang jalan besar Air Hangat dan Durian Perangin (tanah tepi
jalan)
Ada 1 buah rumah + 1 buah rumah kedai
Harga : RM 1 Mil ++ (Masih boleh dirunding; harga yang dinilai jauh lebih tinggi; kalau harga
dengan broker akan jadi berganda-ganda)

Kalau aku ada 1 mil, memang aku beli. Tanah berada di kedudukan yang sangat strategik, tepi jalan nak ke Kuah.
Kalau berminat, boleh runding.