Wednesday, February 25, 2009

MELAKA

Bagi aku, Melaka sama sukarnya dengan Penang.
Sekali keluar dari hotel, aku akan menghadapi masalah yang besar mencari jalan pulang.
Bagi aku, Melaka hanya untuk orang Melaka. Kalau kau bukan orang Melaka, yang tahu jalan-jalan di Melaka, kau pasti sesat. Pasti.

3 hari di Melaka, puas juga aku berjalan-jalan dalam masa yang sangat singkat.

Melaka sama menariknya dengan Penang. Deretan kedai-kedai lama, antik, akan membuai rasa, membuat kau rasa usang. Membuat kau rasa 'cultured'. Rasa terbudaya. Rasa gembira.

Aku sesekali tidak galakkan kau menyelusuri Sungai Melaka, menaiki 'Malacca Cruise'. Jangan membazir. Kerana apa yang kau akan lihat, hanyalah bontot-bontot kedai yang dicat semula, serta biawak-biawak yang diberi nama.

If people asked me how's Malacca?
Jawapan aku pasti: It's a great place to know your history and culture. It's a great place for shopping too! (especially for antique).
Aku akan kembali semula.
Pasti.

Tuesday, February 24, 2009

Menteri

Satu hari, Mak gaduh sama Abah.
Mak kata, Abah patut jadi calon Menteri.
Abah kata, Mak suka perli-perli.

Aku tak nafikan sifat Mak yang amat ketara itu. Mak memang suka perli-perli (ampunkan Cek Mak)
Setelah aku selidik dan siasat, rupa-rupanya perbalahan itu hanya disebabkan satu benda yang amat kecil. Ibu dan anak-anak kucing yang menginap tanpa membayar sebarang sewa di dalam stor Mak.

Mak dah suruh abah buang anak-anak kucing, tinggalkan ibunya, manala tahu berguna.
Abah kata, kita patut buang ibu kucing tu dulu.

Nampaknya, rancangan Mak 'backfired' dirinya sendiri, si ibu kucing hitam itu, telah dengan jayanya merampas kembali bilik stor tersebut dan membawa bersama anak-anaknya yang malang.

Saturday, February 14, 2009

Haru

Kelmarin, hampir separuh kampung aku haru biru. Anak Pak Mat rumah tengah bendang itu kerasukan. Dari rumah Lebai Talib, sampai ke rumah Anuwar Sekupang, semuanya bercakap perihal anak dara Pak Mat itu.

Menjelang tengah malam, hampir seluruh kampung tahu. Terima kasih kepada adikku yang bijaksana itu. Mulutnya yang dibawa kemana sahaja itu terbukti tidak boleh ditutup-tutup lagi apabila ianya melibatkan gosip setempat. Memang semua orang kampung mengakui cerita-cerita yang didengar datangnya dari mulut adikku itu. Tidak seperti yang kau anggap, adikku bukanlah sejenis sejantina denganku. Adikku lelaki.
Ya tuan-tuan dan puan-puan, lelaki.
Jangan ingat perempuan sahaja yang tahu membawa mulut. Lelaki kadangkala boleh bersifat lebih daripada itu.

Berbalik kepada kisah anak dara Pak Mat, setelah ceritanya kerasukan itu dijaja ke seluruh kampung, maka ramailah orang kampung berkumpul di rumah Pak Mat. Menjadi satu masalah pula kepada keluarga itu. Kasihan pula aku dengan bini Pak Mat (Aku 'honestly' tak tahu namanya).

Setelah beberapa orang bomoh dijemput, keadaan anak dara Pak Mat masih tidak berubah. Kasihan dia, asyik berendam air mata dalam bilik.

Aku dan Mak melawatnya sesudah subuh. Bini Pak Mat (yang masih tidak aku tahu namanya) sudah kelihatan seperti 'zombie'. Mak dekat dengan bini Pak Mat perlahan-lahan, sambil berbisik, "Dah berapa bulan dah?"
Bini Pak Mat dengan lemah longlainya mengangkat 2 jari kepada Mak.

"Dah jumpa?"
"Dak lagi. Pasai tu la dok teriak tak sudah tu. Tak larat dah la. Pak dia tak tau lagi."

Aku makin hilang punca mendengar perbualan Mak dan Bini Pak Mat yang tidak ku tahu namanya itu.

"Tak pa aih. Dah jumpa, toksah dok tahan-tahan dah la. Bagi menikah teruih." Kata Mak
Bini Pak Mat hanya tunduk.

Barulah aku faham kini, Mak tahu satu rahsia yang lebih besar. Tapi di diamkan sahaja. Mulut Mak tak sebesar mulut adik. Kalaulah adik tahu kisah anak dara Pak Mat itu, satu Kedah gamaknya tahu.
Aish...

Thursday, February 12, 2009

HILANG

Sekarang berita orang hilang sudah jadi perkara biasa. Abah hari-hari bercakap cerita orang hilang. Aku sudah naik jemu.
Di pejabat aku pun orang hilang juga.
Tidak. Aku tidak bekerja di pejabat yang besar di tengah kota itu. Pejabat aku pejabat kecil sahaja. Nun di hujung dunia. Aku kurang ambil peduli sebenarnya. Tapi hilang tetap hilang.
Tapi aku tidak hilang. Aku sentiasa di tempat aku. Percayalah.

Wednesday, February 11, 2009

Mandi Bunga

Mak ajak aku berkereta pagi itu. Aku seperti biasa, tanpa banyak tanya, menurut saja.
Mak bawa plastik penuh bunga-bunga.
Bawa selabu air.
Bawa kain.
Macam nak pegi kubur aja mak ni. Aku tak tanya. Ikut saja arahan mak.

Punyala jauh. Setelah disuruh kekiri, kekanan, ketengah, ketepi, akhirnya baru sampai ke destinasi. Aku dah mula 'gabra'. Lain macam aja rumah itu. Betul-betul macam rumah dalam drama 'Pondok Buruk di Tengah Sawah' tu. Mak bagi salam. Aku menyahut. Mak ketuk kepala aku dengan kain (saja nak buat lawak bodoh dengan mak).

Tuan punya rumah seorang mak cik tua yang agak serabai. Kalau kau pandang dia dua tiga kali, wajahnya ada iras-iras dengan Bok Miah, bomoh wanita yang insaf dalam drama Niyang Rapik tu. Aku sedaya upaya cuba mengelak dari terlibat dalam perbualan Mak dan Bok Miah klon itu.

"Hang pi tukaq pakai kain ni. Kemban. Buang kesemua. Tok sah dok pakai dalam-dalam semua" Bok Miah klon memberi arahan.
Biar betul ni, kenapa pulak aku yang nak kena berkemban.

"Awat cek pulak? Pasaipa Mak tak bekemban? Tak mau la."

Sekali lagi Mak ketuk kepala aku. Kali ini dengan kacip pinang Bok Miah klon.

Mahu tak mahu, terpaksa lah aku menurut kehendak Mak. Aku dibawa kebelakang rumah Bok Miah klon. Ada tempat mandi dengan guri air. Dalam guri dipenuhi bunga-bunga yang Mak bawa tadi. Betul-betul macam zaman dulu-dulu. Kalau kau tak tengok sendiri, mungkin kau tak akan percaya.

"Cek mandi sendiri la Tok, cek seganla" (segan = malu)

Bok Miah klon berkeras, nak jugak-jugak siramkan aku. Sebagai tidak mahu menghampakan niatnya yang suci murni, aku relakan saja. (Ingat senang ke nak dapat orang siramkan kita)
Aku disiram diiringi doa dan jampi serapah Bok Miah klon. Tiba-tiba aku terasa macam berada dalam filem seram.

Selesai mandi, ada pantangnya lagi. Bok Miah klon tak benarkan aku mengelap badan. Aku kena duduk atas tangga dapur rumahnya sampai kain aku kering. Mujurlah rumahnya di hujung bendang. Dengan angin timur yang panas, matahari yang semakin meninggi, cepatla kain aku kering. Kain yang mula terbuai-buai angin membuatkan aku terasa sangat seksi. Cepat-cepat aku naik ke rumah.

Mak suruh aku pakai baju semula.

"Eh. Tak cucuk-cucuk dulu ka?" Aku
"Cucuk apa pulak?" Mak
"Susuk?" Aku
Mak ketuk kepala aku dengan kacip pinang Bok Miah klon.
Bok Miah klon terkekeh-kekeh ketawa.

Rupa-rupanya ritual mandi bunga tu untuk menaik seri dan membuang sial. Kata Mak. Aku ingatkan untuk pakai susuk. Kata Mak, sejak aku putus dengan si SB, dia tengok aku tak ceria. Itu salah satu cara nak ceriakan aku agaknya. Aish... Aku akan lebih ceria kalau mak bagi duit untuk tukar rim kereta.

Yang pastinya, memang seronok mandi bunga, bukan semua ada pengalaman sebegitu. Yang tak seronoknya, aku tak rasa berseri pun. Aish...

Thursday, February 5, 2009

BODOH

"Kau memang bodoh Mas." Dia
"Aku?Bodoh?"Aku
"Ya. Kau. Kau memang bodoh." Dia
"Iya. Aku memang bodoh kerana jatuh cinta dengan mu Zek." Aku

Lalu Zek memelukku yang basah dalam tangis sendu. Dan kami berhujan bersama.

Adegan ini berlaku dalam mimpi siangku di ofis. Maafkan aku Bos.

Dan Zek, Zek bukanlah SB. Zek ialah Zek.

Mak

Mak aku memang cekap.
Baru tiga hari sudah aku tamat dengan SB. Dia dah sibuk menengok 'the most eligible bachelor' untuk anak daranya yang tak berapa tua ni.
Tak ingatkah dia anaknya ini bagai nak gila menangis di ribaan. Bersumpah dalam tangisan tak mahu bercinta lagi (Chewaah...)

Aku faham perasaan mak. Mungkin dia kesian tengok aku berseorangan. Atau mungkin juga dia kesian pada dirinya sendiri bila orang kampung sibuk bertanya atau memberi pernyataan tak masuk akal seperti:

"Tak teringin nak kawin ka Kak Chik tu?";
"Tak baik simpan anak dara lama-lama dalam rumah cik Nilam"; atau,
"Kak Chik tu, lama-lama reput dalam kain saja la"
Tengok betapa 'laser' nya makcik-makcik kampung aku. Selain dari suka membanding-bandingkan anak-anak jiran, mereka juga mempunyai kekuatan mental yang tinggi. Bukan senang nak memerah otak, mengutuk anak orang secara 'direct' ke muka maknya.

Aku faham perasaan mak. Sebagai langkah mudah, aku relakan dulu pencarian jejaka bertuahnya. Kita tengok siapa yang kena.
Aish...

Tuesday, February 3, 2009

KOSONG

Hari ini aku rasa kosong. Dunia rasa gelap. Rasa sayu. Rasa hiba. Rasa nak termuntah. Loya. Pening. (Bukan seperti yang kau sangka)

Hari ini aku dapat sms. "Jangan ganggu saya lagi, saya dah berpunya..."

Bila aku ulang baca, badan aku rasa kebas, aku rasa nak termuntah, rasa loya, rasa pening, rasa hiba. Aku rasa begitu 'insecure'. Rasa tertipu. Rasa bangang. Rasa sangat tidak cantik.

7 tahun punya cinta, tamat.

Mak kata, "Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor."
Betul. Tapi aku ni kan bunga, mana boleh jalan-jalan cari kumbang. Aku tak ada kaki, tak ada sayap.


Bila aku fikir-fikir, rasa bodoh pulak. 7 tahun pembaziran. Kalau kahwin, sah-sah anak aku dah nak masuk sekolah. Aish...

Tipulah kalau aku kata aku tak meraung kat riba mak.
Tipulah kalau aku kata aku boleh hadapi dengan tenang.
Tipulah kalau aku kata aku tak keronyok semua gambar dia.
Tipulah kalau aku kata aku tak rasa macam nak pergi bakar motor dan rumahnya.
Tapi aku tak tipu bila aku kata aku rasa ringan. Ringan seringannya (untuk pengetahuan kau, aku memang berat).

Walaupun berpuluh kali aku cuba pujuk hati dengan kata-kata: "Dah memang tak ada jodoh, Mungkin ada hikmah semua ini".
Aku tak menafikan perlunya aku mencari pakar sakit jiwa untuk cuba memplaster hati aku yang makin parah ini.Aish...

Monday, February 2, 2009

Hari Lahir

Esok hari lahir mak. Menginjak ke usia 53 tahun, mak tidak kelihatan seperti rakan-rakan seusianya. Mak masih cantik. Rambut masih hitam. Lebat. Kulit masih tegang. Aku bersyukur mak dikurniakan Allah kesihatan yang baik walaupun dengan usia yang semakin meningkat.

Sempena hari lahir mak, aku tanya mak, apa yang mak hajatkan.
Seperti biasa dengan rendah dirinya, mak kata, mak tak mau apa-apa.
Sebagai anak yang memahami, aku kata pada mak;
"Cek tau, mak nak menantu kan? tak pa, hujung taun ni cek kawin na"
Saat itu juga sudip di tangan mak hinggap ke kepala aku yang cantik ni.
Aish...

*Tindakan refleks mak tak berubah walaupun usianya semakin meningkat. Aku kena ambil ini sebagai peringatan, sebelum buat lawak bodoh dengan mak, aku kena pastikan mak tak memegang apa-apa barang. Nasib baik sudip, kalau alu lesung? Aish...

Anyway, Happy Birthday Mum...
Some people could only wish to have someone like you in their life.
I love you so much.

Sunday, February 1, 2009

ORGAN DONOR

Satu petang yang indah, aku tanya abah.

Aku : Boleh dak kalau cek nak jadi 'organ donor'?
Abah + Mak (menyampuk dari dapur)
: Mana boleh (ketika ini, suara mak lebih kuat dari suara abah)
Aku : Awat? Cek nak derma mata, buah pinggang, hati...
Abah : Seksa mayat nanti (dengan nada 'cool')
Mak : (sambil cekak pinggang dengan sudip di tangan)
Habih rompong mayat, nanti bila kapan jadi tepenyek.

Saat itu aku terasa macam sudip dekat tangan mak bakal melayang ke kepala aku.baik aku diam aja.
Tapi terfikir juga aku dengan kata-kata mak tadi, macam mana pulak jenazah aku boleh terpenyek, aku bukan nak dermakan tulang. Aish...
Mum knows best. perhaps.


Aku teringin sebenarnya nak jadi penderma organ. Tapi bila difikirkan keadaan mak yang bakal berkelahi dengan orang hospital lepas aku meninggal, baik aku lupakan aja niat aku tu.