Wednesday, February 11, 2009

Mandi Bunga

Mak ajak aku berkereta pagi itu. Aku seperti biasa, tanpa banyak tanya, menurut saja.
Mak bawa plastik penuh bunga-bunga.
Bawa selabu air.
Bawa kain.
Macam nak pegi kubur aja mak ni. Aku tak tanya. Ikut saja arahan mak.

Punyala jauh. Setelah disuruh kekiri, kekanan, ketengah, ketepi, akhirnya baru sampai ke destinasi. Aku dah mula 'gabra'. Lain macam aja rumah itu. Betul-betul macam rumah dalam drama 'Pondok Buruk di Tengah Sawah' tu. Mak bagi salam. Aku menyahut. Mak ketuk kepala aku dengan kain (saja nak buat lawak bodoh dengan mak).

Tuan punya rumah seorang mak cik tua yang agak serabai. Kalau kau pandang dia dua tiga kali, wajahnya ada iras-iras dengan Bok Miah, bomoh wanita yang insaf dalam drama Niyang Rapik tu. Aku sedaya upaya cuba mengelak dari terlibat dalam perbualan Mak dan Bok Miah klon itu.

"Hang pi tukaq pakai kain ni. Kemban. Buang kesemua. Tok sah dok pakai dalam-dalam semua" Bok Miah klon memberi arahan.
Biar betul ni, kenapa pulak aku yang nak kena berkemban.

"Awat cek pulak? Pasaipa Mak tak bekemban? Tak mau la."

Sekali lagi Mak ketuk kepala aku. Kali ini dengan kacip pinang Bok Miah klon.

Mahu tak mahu, terpaksa lah aku menurut kehendak Mak. Aku dibawa kebelakang rumah Bok Miah klon. Ada tempat mandi dengan guri air. Dalam guri dipenuhi bunga-bunga yang Mak bawa tadi. Betul-betul macam zaman dulu-dulu. Kalau kau tak tengok sendiri, mungkin kau tak akan percaya.

"Cek mandi sendiri la Tok, cek seganla" (segan = malu)

Bok Miah klon berkeras, nak jugak-jugak siramkan aku. Sebagai tidak mahu menghampakan niatnya yang suci murni, aku relakan saja. (Ingat senang ke nak dapat orang siramkan kita)
Aku disiram diiringi doa dan jampi serapah Bok Miah klon. Tiba-tiba aku terasa macam berada dalam filem seram.

Selesai mandi, ada pantangnya lagi. Bok Miah klon tak benarkan aku mengelap badan. Aku kena duduk atas tangga dapur rumahnya sampai kain aku kering. Mujurlah rumahnya di hujung bendang. Dengan angin timur yang panas, matahari yang semakin meninggi, cepatla kain aku kering. Kain yang mula terbuai-buai angin membuatkan aku terasa sangat seksi. Cepat-cepat aku naik ke rumah.

Mak suruh aku pakai baju semula.

"Eh. Tak cucuk-cucuk dulu ka?" Aku
"Cucuk apa pulak?" Mak
"Susuk?" Aku
Mak ketuk kepala aku dengan kacip pinang Bok Miah klon.
Bok Miah klon terkekeh-kekeh ketawa.

Rupa-rupanya ritual mandi bunga tu untuk menaik seri dan membuang sial. Kata Mak. Aku ingatkan untuk pakai susuk. Kata Mak, sejak aku putus dengan si SB, dia tengok aku tak ceria. Itu salah satu cara nak ceriakan aku agaknya. Aish... Aku akan lebih ceria kalau mak bagi duit untuk tukar rim kereta.

Yang pastinya, memang seronok mandi bunga, bukan semua ada pengalaman sebegitu. Yang tak seronoknya, aku tak rasa berseri pun. Aish...

No comments: