Saturday, February 14, 2009

Haru

Kelmarin, hampir separuh kampung aku haru biru. Anak Pak Mat rumah tengah bendang itu kerasukan. Dari rumah Lebai Talib, sampai ke rumah Anuwar Sekupang, semuanya bercakap perihal anak dara Pak Mat itu.

Menjelang tengah malam, hampir seluruh kampung tahu. Terima kasih kepada adikku yang bijaksana itu. Mulutnya yang dibawa kemana sahaja itu terbukti tidak boleh ditutup-tutup lagi apabila ianya melibatkan gosip setempat. Memang semua orang kampung mengakui cerita-cerita yang didengar datangnya dari mulut adikku itu. Tidak seperti yang kau anggap, adikku bukanlah sejenis sejantina denganku. Adikku lelaki.
Ya tuan-tuan dan puan-puan, lelaki.
Jangan ingat perempuan sahaja yang tahu membawa mulut. Lelaki kadangkala boleh bersifat lebih daripada itu.

Berbalik kepada kisah anak dara Pak Mat, setelah ceritanya kerasukan itu dijaja ke seluruh kampung, maka ramailah orang kampung berkumpul di rumah Pak Mat. Menjadi satu masalah pula kepada keluarga itu. Kasihan pula aku dengan bini Pak Mat (Aku 'honestly' tak tahu namanya).

Setelah beberapa orang bomoh dijemput, keadaan anak dara Pak Mat masih tidak berubah. Kasihan dia, asyik berendam air mata dalam bilik.

Aku dan Mak melawatnya sesudah subuh. Bini Pak Mat (yang masih tidak aku tahu namanya) sudah kelihatan seperti 'zombie'. Mak dekat dengan bini Pak Mat perlahan-lahan, sambil berbisik, "Dah berapa bulan dah?"
Bini Pak Mat dengan lemah longlainya mengangkat 2 jari kepada Mak.

"Dah jumpa?"
"Dak lagi. Pasai tu la dok teriak tak sudah tu. Tak larat dah la. Pak dia tak tau lagi."

Aku makin hilang punca mendengar perbualan Mak dan Bini Pak Mat yang tidak ku tahu namanya itu.

"Tak pa aih. Dah jumpa, toksah dok tahan-tahan dah la. Bagi menikah teruih." Kata Mak
Bini Pak Mat hanya tunduk.

Barulah aku faham kini, Mak tahu satu rahsia yang lebih besar. Tapi di diamkan sahaja. Mulut Mak tak sebesar mulut adik. Kalaulah adik tahu kisah anak dara Pak Mat itu, satu Kedah gamaknya tahu.
Aish...

No comments: