Monday, April 5, 2010

Kahwin lagi

Asyik-asyik cerita pasal kahwin. Asyik-asyik cerita pasal kahwin. Macam dah boring kan. Nak cerita pasal masak-masak aku tak tahu. Jadi adalah lebih indah jika aku bercerita pasal kahwin.

Aku asyik rasa berbelah bahagi. Kalau aku cerita pada orang, orang akan kata, agak-agaknya aku ini sudah ada boyfriend baru. Tidak. Sama sekali tidak. Aku cuma ada dia.
Tapi kenapa hati aku tak tenang? Rasa bagai ada yang tak kena? Rasa bagai aku sedang mengambil langkah yang salah. Mak dan Abah pasti akan mengamuk kalau tiba-tiba mereka tahu anak mereka yang cantik jelita ini rasa berbelah bahagi.

Mak mesti akan kata : " Hari tu Mak dah larang, Kak chik yang nak juga."
Abah mesti akan kata : "Hari tu Abah dah larang, kak chik yang nak juga."

Aku dah dapat meramalkan Mak dan Abah akan pulangkan paku buah keras pada aku. Aish...

Aku tidak ada tempat bercerita. Tidak ada tempat untuk berkongsi rasa beban dihati ni. Rasa keraguan yang menimbun. Rasa tak selesa. Rasa bodoh. Rasa ingin lari, tinggal di satu tempat yang sunyi, supaya aku tak perlu membuat sebarang pilihan. Aku boleh hidup dengan tenang. Tidak perlu berfikir sekiranya aku membuat pilihan yang tepat atau tidak. Aku sudah mula pening-pening lalat. Jangan kau terkejut sekiranya aku tidak jadi berkahwin tahun ini.
Aku ingin lari. Aish...

Sunday, March 28, 2010

Mak lagi

Mak dah bising-bising.
Asyik-asyik mengadap buku. Asyik-asyik mengadap buku.
Mak boring. Dia nak aku mengadap dia saja. Bersembang dengan dia saja. Jangan bercakap dengan orang lain selain dari dia.
Aku memang suka. Tetapi, aku akan cepat boring. Mak akan bercerita tentang makcik-makcik yang selalunya aku tidak kenal. Nama makcik-makcik ini pula selalunya lebih kurang sama. Dalam kampungku saja, ada ramai makcik yang bernama 'ANI': Makcik Ani Simpang Telok, Makcik Ani Kantin, Makcik Ani Tanah Haram, Makcik Ani Lebai, dan beberapa orang lagi Makcik Ani yang dikenali dan dikategorikan berdasarkan tempat tinggal, nama suami atau pekerjaan mereka.
Oleh itu adalah lebih baik aku mengadap buku daripada aku memerah otak memikirkan Ani yang mana satu yang Mak maksudkan dalam ceritanya.
Tetapi, kalau tak dilayan nanti, Mak merajuk. Mak marah-marah. Darah Mak naik. Terpaksa pulak aku mengadap Mak di hospital. Mintak simpang malaikat. Baik aku mengadap Mak dirumah. Lebih selesa.

Thursday, March 25, 2010

Sorry banyak-banyak

Aku tak tahulah bila masanya ahli keluarga aku yang cerdik pandai ini akan insaf dan sedar hakikat bahawa aku dah tak bersama SB lagi.

Hari tu, Adik ku yang hensem (bless him, he turned 21 today) dah membuat aksi berbahaya dengan me'request' nak menjadi kawan dengan SB dalam Facebook. Selepas beberapa lama tak mendapat apa-apa jawapan dari SB, adikku yang kadangkala agak bangang itu, mengadu domba pula kepada abang iparku yang kaya raya lagi maha handsome (Abgngah, if you read this, which I know you will: Pinjam kereta satu minggu.Boleh? hehehe).
Maka, Abang iparku yang kaya raya lagi maha handsome itupun cubalah- cuba me'request' menjadi kawan dengan SB (Sebenarnya, mereka-mereka ini sangat-sangatlah rapat dengan SB semasa hubungan kami belum arwah lagi).

Aku tidak tahu menahu tentang aktiviti me'request' menjadi kawan ini sehinggalah abang iparku yang disayangi itu, membuat kenyataan ini di wall Facebook ku malam tadi:

"Semalam A.Ngah try add SB.. Malangnya hari nie dia reply by e-mail 'sory byk2'.. Apa punya parpu daaa... Besaq punya kamjat.. Habaq kat D.Mad bukan dia sorang yang kena reject.. Obviously the whole family has been rejected.. Nalla punya parpu.. Buang karan ja try.. Mak kali hamput punya olang.."

Walaupun aku tak paham kebanyakan perkataan dalam keseluruhan pernyataannya ini. Tapi aku tahu dia terasa hati. Bukan sebab sedih putus hubungan dengan SB. Bukan. Sebaliknya lebih kepada sedih sebab kena reject. Hahahaha... Belajar-belajarla terima kenyataan bro, orang yang kaya-raya lagi maha handsome pun boleh kena reject juga. Hehehe...

For SB: It is your own choice and your very own decision whether to accept or not any friend request in your FB. You are not in the wrong. They are just trying to be friend with you again. Aku tak ada kena mengena ya. (kenyataan ini dibuat sebab takut kena ambush with nasty comments dari encik 'peminat'. )

Tuesday, March 23, 2010

Cari pasal

Aku dah bagi tahu pada Mak rancangan aku untuk berpindah, mencari rumah lain. Konon-kononnya merajuk. Konon-kononnya protes. Konon-kononnya berpindah membawa hati yang luka.
Chewah...

Akibatnya,
Selama 2 hari, Mak hanya memberi isyarat mata saja dengan aku. Jangankan hendak bercakap, bersentuh bahu pun dia tak lalu. Aish...

Cari pasal lagi. Padan muka.

Sunday, March 21, 2010

Semekin

Hidup makin miskin sekarang ini.
Miskin wang, miskin waktu, miskin budi bahasa.

Aku tidak mahu jadi orang miskin. Aku mahu jadi kaya.
Kaya wang, kaya waktu, kaya budi bahasa.

Tetapi rasa-rasanya cita-citaku susah benar nak tercapai.
Aku sekarang ini:
Tiada wang, tiada waktu, tiada budi bahasa.
Celaka.

Wednesday, March 17, 2010

Kahwin

Tolong bagi aku 10 sebab kenapa aku perlu kahwin?

Aku tiba-tiba rasa mungkin marriage is not for me.
Mungkin aku tak sesuai berkahwin.
Mungkin aku tak sesuai memegang status sebagai isteri orang.
Mungkin aku tak sesuai untuk apa-apa.

Tiba-tiba aku rasa malas nak berfikir.

Tuesday, March 16, 2010

Halau

Aku rasa aku sedang dihalau secara halus dan lembut. Aku rasa sahaja. Tak semestinya betul. Tapi kebarangkaliannya tinggi. Kebarangkalian aku sedang dihalau secara halus itu sangat tinggi.

Kalau diikut hati muda ini, aku ingin tinggal selamanya dengan Mak. Tapi dari cakap-cakapnya, aku rasa, Mak dan Abah sudah mula menyampah melihat muka aku dirumah. Takkan lah kering sangat hati aku ini, sampaikan tak dapat nak memahami maksud tersirat Mak Abah itu. Aku paham. Memang aku paham benar.

Penyelesaiannya sekarang, aku perlu cari rumah sewa. Mungkin di antara rumah Mak dan tempat kerja. Supaya mudah aku berulang-alik ke rumah Mak sekiranya aku lapar (nampak sangat tak guna). Ataupun aku sebenarnya tak perlu menyewa. Ya. Buat apa perlu menyewa jika aku ada penyelesaian lain.

Ada sesiapa yang teringin anak angkat yang boleh basuh baju, kemas rumah, lipat kain, tapi suka tertidur petang lepas balik dari kerja? Dan aku juga tak pandai masak. Anyone? Kak yan?